Saturday, May 10, 2008

TEMASYA BUDAYA WARISAN (TEBUWA) : 13-17 FEBRUARI 2008

“Mendukung Adat Menjunjung Warisan” merupakan tema bagi program Temasya Budaya Warisan ( TEBUWA) anjuran Majlis Tertinggi Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar UPMKB yang berlangsung pada 13 hingga 17 Februari 2008. Pembukaan tirai majlis telah diserikan dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden Majlis Tertinggi Mahsiswa Kolej Sri Rajang, Saudara Mohd Norhisham Abdullah dan majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh En. Abang Ahmad Abang Abai selaku Ketua Felo yang mewakili Pemangku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Dr. Mohd. Daud Awang.Pembukaan dimeriahkan dengan acara-acara yang menghiburkan dan mengagumkan dari Persatuan Seni Silat Ustaz Hanafi dan persembahan tarian khas oleh Kelab Kesenian dan Kebudayaan UPMKB dan persembahan Dikir Barat sebagai penutup majlis.





Program TEBUWA telah berjaya menggamatkan suasana Dewan Makan 1 pada 14 dan 15 Februari dengan pertandingan pantun yang hebat di antara wakil blok. Dengan bertemakan tajuk tradisi, setiap peserta telah menunjukkan bakat mereka berbalas pantun. Pemantun terbaik jatuh kepada Saudari Norfaradila bt Md Baiti dari Blok H, sekaligus merangkul anugerah Johan keseluruhan bagi acara pantun yang dipertandingkan. Pada 16 Februari pula, acara sukan rakyat telah membuka gelanggang dengan mempertandingkan permainan tradisional seperti pertandingan menganyam ketupat, menyumpit, ayam dan musang, galah panjang, boling kelapa, dan berbagai-bagai lagi.




Malam Penutup Program TEBUWA yang berkonsepkan tradisional telah mencipta sejarah dan pencapaian baru bagi warga Kolej Sri Rajang dengan menawarkan pelbagai kelainan dan pembaharuan yang telah mendapat pujian dari pelbagai pihak. Majlis penutup tersebut diserikan dengan persembahan dari Persatuan Seni Silat Banteng Betawi dan pertandingan Dramatari yang amat menghiburkan. Majlis perasmian penutup telah dimulakan dengan ucapan pembukaan dari Pengarah Program Temasya Budaya Warisan (TEBUWA) iaitu Saudari Hurraini Ismail dan Majlis Penutup disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar iaitu Dr. Mohd Daud Awang.






Secara keseluruhan, Program Temasya Budaya Warisan (TEBUWA) telah mencapai kejayaan yang amat membanggakan dan telah mencipta satu “benchmark” kepada aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar di UPMKB. Diharapkan program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang agar tradisi kita dapat dikekalkan sepanjang zaman.






0 comments: