Saturday, May 10, 2008

KEMBARA PUTRA UPMKB : 16-20 NOVEMBER 2007

Kembara Putra UPMKB adalah usaha terancang anjuran Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Tertinggi Mahasiswa Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Kolej Cempaka,UNIMAS.
Aktiviti-aktiviti Kembara Putra ini membolehkan penglibatan aktif mahasiswa dalam membina daya ketahanan yang tinggi dari segi fizikal dan mental mahasiswa UPM Kampus Bintulu yang mengikuti program ini. Selain itu, melalui aktiviti ini semangat kerjasama berpasukan, kemahiran, rasa cinta pada flora dan fauna serta dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan mahasiswa. Di samping itu, mahasiswa juga dapat mengenali serta mempelajari budaya dan adat masyarakat di Sarawak.Program Kembara Putra yang telah melibatkan seramai 35 orang mahasiswa UPMKB dengan kerjasama daripada warga Kolej Cempaka, UNIMAS telah menjalankan beberapa aktiviti pemantapan dari segala segi termasuklah persediaan ekspedisi Gunung Gading, Lundu, Sarawak yang telah berlangsung bermula dari 16 November hingga 20 November 2007.
Disamping untuk menanam serta mengutuhkan nilai-nilai moral di dalam diri setiap mahasiswa yang terlibat, program ini juga untuk membantu mahasiswa menyalurkan bebanan serta tekanan ke arah yang betul iaitu melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Diharapkan agar program sebegini tidak berakhir di sini sahaja malahan patut dijadikan sebagai salah satu aktiviti tahunan mahasiswa di UPMKB.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dilaksanakan seperti yang telah dirancangkan dan telah memberikan banyak pengalaman kepada para peserta program Kembara Putra Universiti Putra Malaysia 2007. Sesuai dengan objektif program ini iaitu mewujudkan budaya aktiviti yang sihat di kalangan mahasiswa, aktiviti seperti mendaki gunung, sukan persahabatan dan membuat kunjungan ke tempat-tempat menarik yang bersejarah di sekitar Bandaraya Kuching berjaya menerapkan budaya hidup sihat serta memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali tempat, adat dan budaya masyarakat di bumi Kenyalang. Aktiviti seumpama ini juga telah mengajar para peserta mematuhi ketepatan masa, mengenali erti kesabaran, bertolak ansur, amanah, dan bertanggungjawab.
Selain daripada itu, program ini telah berjaya menanamkan semangat jati diri, semangat berpasukan, komitmen yang tinggi dan kerjasama yang baik di kalangan peserta. Program ini juga secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai hal-hal pengurusan sesebuah program dimana mahasiswa dengan sendiri merancang dan melaksanakan semua proses pelaksanaan program Kembara Putra ini dengan bimbingan pegawai pemantau. Disamping itu, melalui program ini juga, Univeriti Putra Malaysia Kampus Bintulu telah dapat diperkenalkan dengan lebih jelas menerusi slot dialog bersama Majlis Perwakilan Pelajar dan Jawatankuasa Pengurusan Kolej Universiti Malaysia Sarawak serta Majlis Tertinggi Mahasiswa Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu. Dapatlah disimpulkan bahawa program Kembara Putra Universiti Putra Malaysia 2007 pada kali ini telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan dan para peserta telah mendapat faedah yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan kerjaya mahasiswa pada masa akan datang.

0 comments: