Sunday, August 3, 2008

RESOLUSI PEMIMPIN PELAJAR UPM KAMPUS BINTULU

DOKUMEN TUJUH RESOLUSI PEMIMPIN PELAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU TERHADAP ISU PENGLIBATAN PELAJAR, MAKLUMAT KAMPUS BINTULU, KEPERLUAN PEMBELAJARAN, LATIHAN INDUSTRI, LATIHAN AMALI, HAL EHWAL KEWANGAN DAN PENSYARAH MELALUI MESYUARAT BERSAMA YDP MPP UPM SESI 2007/2008 PADA 20 JULAI 2008 DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU

MAKLUMAT PENTING

Dokumen Tujuh Resolusi Pemimpin Pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu terhadap isu penglibatan pelajar, maklumat kampus bintulu, keperluan pembelajaran, latihan industri, latihan amali, hal ehwal kewangan dan pensyarah adalah dokumen untuk membantu pihak pengurusan universiti dalam memperkukuhkan polisi-polisi tertentu disamping mengenalpasti masalah dan cadangan terhadap isu di atas demi menjaga kebajikan mahasiswa di seluruh Malaysia dan ia termaktub didalam perlembagaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, perkara 52(10) tujuan dan fungsi Majlis Perwakilan Pelajar adalah seperti berikut :

(10)(a) Untuk memupuk semangat hidup sebagai suatu persatuan di kalangan pelajar-pelajar universiti.
(10)(b) Tertakluk kepada arahan Naib Canselor, untuk merancang dan menyelia kemudahan-kemudahan kebajikan pelajar di Universiti termasuk kemudahan-kemudahan rekreasi, aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan, dan bekalan makanan dan minuman;
(10)(c) Untuk membuat representasi kepada Naib Canselor tentang segala perkara berhubungan atau berkenaan dengan keadaan tempat tinggal dan kehidupan pelajar-pelajar Universiti;
(10)(d) Untuk diwakili dalam mana-mana badan yang boleh, mengikut kaedah-kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan pelajar universiti; dan
(10)(e) untuk menjalankan apa-apa aktiviti lain yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

Segala maklumat dan resolusi yang dibentuk adalah berdasarkan perbincangan semasa mesyuarat Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu Bersama YDP MPP UPM sesi 2007/2008 dan dalam penganalisaan mesyuarat tersebut telah menemui beberapa polisi-polisi yang perlu diperkukuhkan untuk memantapkan lagi kebajikan mahasiswa dan pendirian Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu terhadap beberapa isu.

Untuk makluman juga, pihak Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu juga tidak bertanggungjawab atau bersalah terhadap apa-apa kesilapan, pandangan yang bercanggah, kerosakkan, perbelanjaan atau kerugian dan apa sahaja yang tidak tepat dalam merujuk mana-mana maklumat yang terdapat dalam dokumen ini.

Isu dan Resolusi

ISU 1 : PENGLIBATAN PELAJAR : AKTIVITI DAN PROGRAM YANG DIANJURKAN HENDAKLAH MELIBATKAN PELAJAR DARI KAMPUS SERDANG DAN BINTULU.

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar aktiviti yang
dianjurkan di Universiti Putra Malaysia samada di kampus Serdang atau Bintulu melibatkan penyertaan pelajar daripada kedua-dua belah pihak bagi tujuan pemantapan pembangunan sahsiah.

ISU 2 : MAKLUMAT KAMPUS BINTULU : RUANGAN KHAS KAMPUS
BINTULU DI DALAM SURATKHABAR TRIBUN PUTRA DAN BULETIN
HAL EHWAL PELAJAR.


Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar terdapat ruangan khas mengenai aktiviti dan maklumat berkaitan dengan kehidupan universiti daripada Kampus Bintulu untuk dihebahkan dalam setiap edisi Tribun Putra dan Buletin Hal Ehwal Pelajar.

ISU 3 : KEPERLUAN PEMBELAJARAN : SEBARANG PERALATAN YANG DIPERLUKAN OLEH PELAJAR BAGI MENJALANKAN PROJEK TAHUN AKHIR HENDAKLAH MENCUKUPI BAGI KEGUNAAN PEMBELAJARAN DI MAKMAL

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon jasabaik pihak pengurusan universiti agar menyediakan peralatan makmal yang diperlukan oleh pelajar secukupnya bagi tujuan melengkapkan projek tahun akhir. Untuk makluman, senarai keperluan peralatan akan dihantar secara rasmi daripada wakil Bintulu Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sesi 2007/2008 kepada Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan.

ISU 4 : LATIHAN INDUSTRI : PERMOHONAN MENJALANKAN LATIHAN INDUSTRI DI FIRMA-FIRMA BERKAITAN DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN ANTARABANGSA

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar pihak pengurusan universiti memberi kebenaran kepada pelajar untuk menjalankan latihan industri di firma-firma di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa yang bersesuaian dengan program akademik pelajar.


ISU 5 : LATIHAN AMALI : PERUNTUKAN DANA KHAS BAGI MENJALANKAN LATIHAN AMALI DI LUAR KAMPUS BINTULU

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar peruntukan dana khas diberikan kepada pengurusan universiti di Kampus Bintulu bagi memberikan peluang kepada pelajar kampus Bintulu menjalankan latihan amali di agensi-agensi luar kampus bagi mendedahkan pelajar kepada pengalaman praktikal yang tidak terdapat di kampus.

ISU 6 : HAL EHWAL KEWANGAN : MENYERAGAMKAN BAYARAN INSURANS AKTIVITI PELAJAR DAN MENYALURKAN BANTUAN KEWANGAN BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR UPM DI SERDANG KEPADA PELAJAR DI KAMPUS BINTULU

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar bayaran insurans aktiviti pelajar diseragamkan bagi semua pelajar Universiti Putra Malaysia dan bantuan kewangan pelajar daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM kampus Serdang dibuka kepada semua pelajar di kampus Bintulu.

ISU 7 : PENSYARAH : PERTAMBAHAN PENSYARAH UPM KAMPUS BINTULU BERTARAF PHD KE ATAS

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon jasa baik pengurusan universiti agar menempatkan lebih ramai pensyarah yang mempunyai kelayakan PhD ke atas di kampus Bintulu bagi memberikan pendedahan ilmiah yang setaraf dengan kampus Serdang.

Nota : Segala maklumat dan resolusi yang dibentuk adalah berdasarkan perbincangan semasa mesyuarat Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu bersama YDP MPP UPM sesi 2007/2008. Ahli mesyuarat juga tidak bertanggungjawab atau bersalah terhadap apa-apa kesilapan, pandangan yang bercanggah, kerosakkan, perbelanjaan atau kerugian dan apa sahaja yang tidak tepat dalam merujuk mana-mana maklumat yang terdapat dalam dokumen ini.

0 comments: