Monday, August 11, 2008

MAHASISWA SESAT DITEMUI SELAMAT

Oleh Andy Sabang

Anton sesat ketika cari sampel untuk projek pengajian di hutan Engkilo

SIBU: Seorang mahasiswa warga Indonesia yang me-nuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu ditemui dalam keadaan selamat setelah tersesat di kawasan hutan Engkilo yang terletak di seberang Sibu, semalam.

Anton Eko Sastrio, 26, tersesat ketika hendak mendapatkan sampel hutan bagi kegunaan projek tahun akhir pengajian peringkat Ijazah Sarjana yang diikutinya, kata penyelia projek tersebut, Seca Gandaseca ketika ditemui media semalam.

Seca berkata, beliau bersama lima orang mahasiswa (empat peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Anton) serta dua pembantu makmal tiba di sini, Jumaat lalu.

Pada pagi keesokannya (Sabtu), kelapan-lapan mereka memasuki kawasan hutan tersebut sambil diiringi seorang kakitangan Jabatan Perhutanan dan dua pekerja sebuah syarikat pembalakan tempatan.

“Kehilangan Anton disedari pada waktu tengah hari ketika kami berhenti di satu tempat untuk berehat dan makan tengah hari. Anton dan seorang rakannya, bagaimanapun berhenti jauh sedikit daripada kami kerana keletihan,” ujar Seca.

“Apabila tiba waktu makan tengah hari, Anton menyuruh rakannya supaya mengambil makanan untuknya. Namun, sebaik sahaja rakannya datang semula membawa makanan, dia (Anton) sudah hilang.”

Tersentak dengan kejadian itu, jelasnya, mereka terus men-cari Anton di sekitar kawasan terbabit. Menurut Seca, gerakan mencari Anton berlanjutan sehingga jam 11 malam kelmarin, sebelum mereka tampil membuat laporan polis pada kira-kira jam 2 pagi semalam.

Dalam pada itu, seorang rakan mangsa, Zuaney Sulaiman, 26, memberitahu Anton telah dijumpai oleh pekerja balak di kawasan hutan itu, beberapa kilometer dari tempat beliau tersesat.

Menurut Zuaney, pekerja balak terbabit membantu menunjukkan Anton laluan keluar dari hutan berkenaan ke jalan utama, sebelum ditemui pasukan mencari dan menyelamat pagi semalam.

Anton yang kelihatan agak keletihan ketika ditemui memberitahu, beliau bersyukur kerana selamat.

“Tidak ada apa-apa yang berlaku dan semuanya selamat,” katanya yang enggan bercerita lebih lanjut mengenai insiden tersebut.

Sumber : http://www.theborneopost.com

0 comments: