Monday, September 1, 2008

AMANAT MPPUPMKB SEMPENA HARI KEMERDEKAAN



Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum W.B.T. & Salam Perpaduan

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Tuhan sekalian alam, atas kurniaNya, ruang dan perolehan yang kita miliki masih dapat kita terus gunakan dan kita masih diberi ruang untuk menikmati keindahan bumi ciptaanNya yang tidak ternilai ini.

Hadirin hadirat yang dimuliakan sekalian,

Kemerdekaan dalam konteks negara adalah bebas daripada kuasa penjajahan. Negara merdeka diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyat negara itu. Kemerdekaan adalah harta paling mahal bagi sebuah negara dan rakyatnya. Kita harus bersyukur kerana sudah bebas daripada belenggu penjajah sejak 51 tahun lalu. Kemerdekaan mengikut takrifan pula ialah kebebasan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang. Setiap individu berhak melakukan apa yang mendatangkan kebaikan kepadanya. Kebebasan itu tidak pula mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, individu dan pihak lain. Kita melihat erti kemerdekaan meliputi soal kenegaraan dan individu. Negara yang merdeka, tetapi rakyatnya terbelenggu dengan pelbagai masalah, dikuasai pemikiran dan cara hidup, sebenarnya masih belum merdeka. Begitu juga jika rakyat bebas melakukan apa untuk dirinya, tetapi negara masih dijajah, maka tidak bererti sepenuhnya.

Hadirin hadirat yang dimuliakan sekalian,

Persoalannya sekarang, apakah kita memahami nilai sebenar erti kemerdekaan seperti mana yang kita sering ungkapkan ketika tiba bulan kemerdekaan negara. Mungkin ramai orang diluar sana tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenarnya. Merdeka yang ringkas difahami oleh kebanyakkan daripada kita adalah sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah. Di dalam konteks ini, kita sedari bahawa negara Malaysia sememangnya bebas dari penjajah tetapi kita lupa bahawa sedikit demi sedikit minda kita ditarah serta dihakis dari menjiwainya. Keaslian dan ketulenan kemerdekaan serta pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin juga perwira negara dahulu dicemarkan oleh minda yang lupa asal-usulnya. Minda yang dikatakan merdeka adalah minda yang bersih dari segala jajahan penyaluran informasi baik dari segi ikutan, budaya dan sosialnya. Sebaliknya apa yang berlaku di negara kita banyak menjurus ke arah ‘trend’ negara lain yang sememangnya lari dari konsep yang diamalkan di negara kita sebelum ini. Sebagai contoh, generasi muda sekarang ini atau kita boleh fokuskan kepada mahasiswa, mereka lebih cenderung ke arah keseronokan semata-mata serta tidak menampakkan semangat patriotik yang sepatutnya ada pada setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia.

Hadirin hadirat yang dimuliakan sekalian,

Di sini apa yang dapat dilihat, generasi muda kita leka disaluti dengan nikmat yang diperjuangkan oleh generasi yang terdahulu. Mereka ini juga lupa bagaimana negara kita dapat menikmati kemerdekaan pada hari ini. Secara sedar atau tidak, kita dapat melihat dengan cara serta tahap pemikiran yang ada pada generasi sekarang ini. Memang tidak dapat dinafikan negara kita semakin maju dan kehadapan, syabas diucapkan, tetapi nilai murni serta keluhuran budi bahasa juga perlu selaras bersama kemajuan bagi menjana keutuhan moral kepada generasi muda terutamanya mahasiswa sekarang. Apa yang perlu ditekan serta diingati di sini adalah kita juga mempunyai sejarah yang perlu diingati dan dipelajari dari masa ke semasa supaya kita tidak dijajah semula. Generasi sekarang perlu pandai menjana minda untuk menghadapi cabaran yang ada pada masa ini kerana pelbagai bentuk informasi dan cara sambutan kemerdekaan yang saya rasa bertentangan dengan budaya kita sedang berlaku.

Hadirin hadirat yang dimuliakan sekalian,

Di dalam bulan kemerdekaan ini marilah kita bersama-sama bersatu dalam pelbagai bentuk tidak kira dari segi mental dan fizikal. Percayalah kemajuan datangnya dari rakyat yang bersatu dan perpecahan pendorong kemunduran dan kemerosotan sesuatu negara. Bak kata pepatah “Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh”. Oleh itu, kita semua perlu memperkemaskan diri serta minda dalam menghadapi cabaran global yang tidak bersempadan serta memperkukuhkan tonggak jati diri supaya erti kemerdekaan sebenar dapat dihayati justeru maruah negara Malaysia dapat dipelihara.

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama bertekad dan bersatu hati untuk memegang amanah yang diwarisi oleh nenek moyang kita iaitu kemerdekaan negara kerana telah terbukit bahawa tugas kita bukan kecil kerana mengisi kemerdekaan rupanya lebih sukar dari bermandi keringat dan darah menuntutnya. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun / Sajak.
Pantun

Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan Jiwa Merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.

0 comments: