Friday, September 5, 2008

PERUTUSAN KEMERDEKAAN DAN RAMADHAN


Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Tuhan sekalian alam, atas kurniaNya, ruang dan perolehan yang kita miliki masih dapat kita terus gunakan dan kita masih diberi ruang untuk menikmati keindahan bumi ciptaanNya yang tidak ternilai ini.

Pada kesempatan ini saya dan seluruh exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Fakulti Sains Pertanian dan Makanan dan Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) Kolej Sri Rajang ingin mengucapkan menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah dan belum terlewat rasanya untuk kami mengucapkan selamat menyambut kemerdekaan yang ke 51 tahun Malaysia yang tercinta.

Sempena kemerdekaan yang telah melebihi separuh abad ini usah kita mempersoalkan apa yang negara telah lakukan pada kita tetapi bertanya pada diri kita apa sumbangan kita kepada negara. Paling utama marilah kita bersama-sama memelihara perpaduan di antara kita demi kesejahteraan dan keharmonian hidup ini bertepatan dengan tema sambutan kali ini ‘Perpaduan teras Kejayaan’. Tidak salah jika kita ingin bebas tetapi setiap kebebasan ada batasannya dan hadnya agar tidak melampaui batas-batas norma manusia amnya dan sebagai warganegara yang bertanggungjawab khasnya kerana kita mempunyai peraturan dan undang-undang perlu dipatuhi. Tepuk dada tanya pada diri.

Kemerdekaan kali ini juga sangat istimewa terutama bagi umat Islam yang menyambut kehadiran Ramadhan sehari selepas sambutan kemerdekaan. Jadi marilah bersama-sama kita mengambil ikhtibar daripada sambutan ini dengan memerdekakan diri kita daripada hawa nafsu dan memanfaatkan sepenuhnya bulan yang penuh keberkatan.

Pada kesempatan ini kami, seluruh exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Fakulti Sains Pertanian dan Makanan dan Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) Kolej Sri Rajang ingin memohon maaf ke atas kekhilafan dan kelemahan kami sepanjang kami menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

0 comments: