Seluruh warga Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat datang kepada mahasiswa baharu.
PERKHIDMATAN BAS UNTUK PELAJAR BAHARU
Berita baik kepada mahasiswa sekalian. Adik-adik tidak perlu risau berkenaan pengangkutan bas daripada Lapangan Terbang Bintulu atau dari Terminal Bas Ekspress Bintulu ke Kolej Sri Rajang, UPMKB. Apa yang perlu adik-adik buat adalah mendaftarkan diri adik-adik kepada pegawai kami di kaunter perkhidmatan bas UPMKB di dalam kawasan terminal lapangan terbang atau terminal bas ekspress.
Untuk maklumat lanjut mengenai jadual perjalanan bas dari kedua-dua lokasi ke Kolej Sri Rajang, jadual perjalanan bas (sila klik) ini boleh membantu anda.
PROGRAM MINGGU SUAI KENAL
Minggu Suai Kenal Perkasa Putra Universiti Putra Malaysia diadakan selama lapan (8) hari dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Program ini akan memberikan pendedahan awal kepada adik-adik bagi memudahkan penyesuaian diri dengan suasana kampus dan budaya hidup sebagai mahasiswa di universiti. Adik-adik boleh merujuk jadual program minggu suai kenal di sini (sila klik)
Dalam masa tersebut, mahasiswa akan diberikan maklumat penting berkenaan program pengajian, halatuju kerjaya dan kemudahan yang ditawarkan sepanjang berada di UPMKB. Manfaat daripada menghadiri program ini, adik-adik akan menjadi lebih bersedia, mempunyai panduan dan halatuju selari dengan tekad, usaha dalam mencapai cita-cita untuk bergraduat dengan cemerlang.
Adalah menjadi harapan UPMKB agar mahasiswa yang dilahirkan kelak faham akan matlamat negara dan aspirasi bangsa, mempunyai kesedaran dan jati diri, semangat juang yang kental, beriman, berdisiplin, berilmu dan professional.
PERSEDIAAN UNTUK PENDAFTARAN
Bagi memudahkan proses pendaftaran kelak, adik-adik diminta untuk menyediakan dan membawa dokumen seperti berikut ;
i. Surat Tawaran Kemasukan/ online ke Universiti
ii. Kad Pengenalan / passport
iii. Sijil Berhenti Persekolahan dan Surat Akuan lain yang berkaitan
iv. Salinan Surat Tawaran Biasiswa/ Pinjaman/ Dermasiswa/ Jaminan KWSP dan
sebagainya (jika ada)
v. Dua (2) set salinan dokumen berikut yang telah disahkan untuk tujuan
permohonan biasiswa/ pinjaman:
- Sijil kelahiran diri dan ibu bapa;
- Sijil keputusan peperiksaan PMR/SPM/STPM/ Diploma dan sijil aktiviti ko
kurikulum.
- 1 salinan Penyata Pendapatan (Borang J/ Penyata Gaji/ Kad Pesara Kerajaan)
yang terkini ibu bapa/ penjaga/ suami isteri.
(Bagi ibu bapa/ penjaga/ suami / isteri yang bekerja sendiri dan tidak
mempunyai dokumen berkenaan, sila sediakan surat pengesahan pendapatan
yang disahkan oleh pegawai seperti di perenggan 7.8(k) dengan menyatakan
nama dan nombor kad pengenalan, berkaitan dengan pemohon dan jumlah
pendapatan bulanan)
vi. Gambar sebanyak 12 keping berwarna mengikut ukuran pasport
(berlatarbelakangkan warna biru) / Imej secara digital.
Catatan : Sila tuliskan no. matrik, nama dan no. kad pengenalan di belakang setiap keping gambar.
TEMPAT MENDAFTAR
Lokasi pendaftaran mahasiswa baharu adalah di alamat berikut :
Dewan Makan 1, Kolej Sri Rajang,
Jalan Mulu, UPM Kampus Bintulu,
Bintulu, Sarawak.
Papan tanda penunjuk arah akan dipamerkan bermula daripada kedua-dua laluan masuk UPMKB sama ada menggunakan Jalan Nyabau atau Jalan Li Hua sehingga ke Kolej Sri Rajang, UPMKB. Sila rujuk lampiran peta lokasi UPMKB (Klik pada peta lokasi) untuk panduan kenderaan daripada Miri, Sibu dan Bintulu.
PERSEDIAAN UNTUK PENGINAPAN
Adik-adik juga dinasihatkan untuk membawa pakaian dan barang-barang berikut semasa datang melaporkan diri ke UPMKB ;
i. Pakaian sendiri yang sesuai untuk kegunaan harian dan majlis rasmi selaras
dengan program Minggu Suai Kenal Perkasa Putra.
ii. Pakaian sukan seperti baju kemeja T, ‘track bottom’ dan kasut sukan
iii. 2 helai selimut dan 3 helai cadar
iv. Sarung Bantal
v. Sejadah bagi pelajar yang beragama Islam
vi. 2 helai tuala mandi
vii. Keperluan lain seperti baldi dan sebagainya
PENGINAPAN IBU BAPA
Sukacita dimaklumkan bahawa penginapan di Kolej Sri Rajang hanya disediakan kepada mahasiswa baharu sahaja. Ibu bapa, keluarga atau pengiring kepada pelajar baharu tidak disediakan kemudahan penginapan dan dinasihatkan untuk membuat tempahan penginapan di hotel/ rumah tumpangan yang berdekatan dengan UPMKB. Senarai hotel dan rumah tumpangan (sila klik)
Kemudahan teksi di Bintulu amat mudah diperolehi dengan menghubungi nombor hotline 086-332009. Untuk rujukan anggaran kadar tambang teksi di sekitar Bintulu (sila klik)
URUSAN IMIGRESEN
1. Dokumen Perjalanan Terhad
Adik-adik dari Semenanjung dan Sabah yang mendapat tawaran pengajian di UPMKB dinasihati untuk memohon Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) di Pejabat Imigresen yang berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing. Adik-adik juga dikehendaki untuk mengemukakan dokumen berikut semasa membuat permohonan :
i. 2 salinan kad pengenalan ( Sila bawa kad pengenalan asal dan sijil lahir asal)
ii. 2 keping gambar ukuran passport
iii. RM 1.00 untuk pembelian borang IM.42-Pin 1/97 di Pejabat Imigresen.
2. Permohonan Pas Pelajar
Dokumen Perjalanan Terhad hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaaan oleh pihak Imigresen di pintu masuk lapangan terbang Kuching atau Lapangan Terbang Bintulu. Dokumen tersebut juga perlu diserahkan kepada Unit Kewangan dan Kebajikan Pelajar, Pejabat Timbalan Dekan (HEP), UPMKB semasa hari pendaftaran bagi tujuan urusan permohonan pas pelajar. Sila kemukakan bersama dokumen berikut :
i. Buku Dokumen Perjalanan Terhad (DPT)
ii. 1 salinan kad pengenalan
iii. 1 keping gambar berukuran passport
iv. 1 salinan surat tawaran dari Universiti
v. RM 1.00 untuk borang permohonan pas pelajar (Im. 14-pin. 1/93)
MAKLUMAT TAMBAHAN
i. Bantuan Kewangan - Biasiswa/Pinjaman (sila klik)
ii. Senarai Talian Penting Untuk Di Hubungi (sila klik)
ii. Semakan Tawaran Kemasukan (sila klik)
Tuesday, June 24, 2008
Minggu Perkasa Putra
Posted by
MPP UPMKB
at
11:57 PM
Labels: info
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment