Tuesday, June 24, 2008

UPM tidak pernah abai kemudahan Kampus Bintulu

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) ingin merujuk aduan 'Pelajar Jauh, Rembau Negeri Sembilan', dalam ruangan ini pada 13 Jun, bertajuk 'Kampus UPM Bintulu serba kekurangan'.

UPM ingin membuat kenyataan bahawa UPM Kampus Bintulu (UPMKB) tidak pernah dianaktirikan, malah diberi tumpuan sewajarnya seperti dalam pembangunan fizikal bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

UPMKB yang mula beroperasi pada Oktober 2001 ialah antara fakulti yang mendapat peruntukan lebih tinggi berbanding fakulti lain di kampus induk bagi menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelajar termasuk perpustakaan yang mempunyai koleksi buku dan rujukan dalam pelbagai bidang, makmal pengajaran dan kemudahan latihan pelajar yang berkaitan.

Menyentuh mengenai koperasi dan mesin ATM, UPMKB tidak pernah menafikan kepentingan kemudahan itu, malah akan melengkapkan kemudahan itu pada sesi akademik 2008/2009 apabila Bangunan Pusat Pelajar UPMKB siap dibaik pulih.

Program pembangunan sahsiah pelajar juga dipertingkatkan dan UPMKB sentiasa menguatkuasakan peraturan pelajar supaya kampus ini melahirkan pelajar yang memiliki ketrampilan, sahsiah dan jati diri cemerlang.

Untuk makluman, Majlis Perwakilan Pelajar yang dipilih oleh UPMKB terdiri daripada mereka yang cemerlang dalam pengajian (syarat minimum CGPA 3) dan cemerlang aktiviti kokurikulum. Semua aktiviti dianjur UPMKB adalah terancang dan mengikut objektif ditetapkan tanpa mengganggu pembelajaran pelajar.

Justeru, UPM meminta supaya pengadu terus mendapatkan maklumat tepat daripada pentadbiran UPMKB dan sentiasa menyokong usaha kampus berkenaan menjadi sebuah kampus cawangan unik, berdaya saing dan cemerlang.

UPMKB adalah destinasi pendidikan yang memiliki keaslian dan keunikan budaya tersendiri, bersesuaian dengan martabat kebenaran dan ketinggian ilmu yang dijunjung.

ABDULLAH ARSHAD,
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat,
Universiti Putra Malaysia,
Serdang, Selangor.

0 comments: