Sunday, August 9, 2009

INFO BERSAMA : PERKASA KEMAHIRAN INSANIAH




SENARIO di atas sering terjadi kepada graduan masa kini. Limpahan graduan yang tidak bekerja menjadi tanda tanya kepada semua pihak. Adakah graduan yang terhasil daripada sistem pendidikan kita tidak cukup bermutu dan berkualiti? Adakah wajar kita menyalahkan pihak pengajian tinggi di dalam hal ini?
Semua aspek perlu diteliti dengan menyeluruh supaya pendekatan yang bersepadu diambil bagi mengatasi permasalahan ini.
Menurut Wikipedia, kemahiran insaniah atau diistilahkan sebagai soft skills merujuk kepada istilah sosiologi yang merujuk kepada ciri-ciri keperibadian, daya tarik sosial, kemampuan berbahasa, norma peribadi, sikap kepekaan atau kepedulian serta sikap optimis seseorang.
Ia melengkapi kemahiran lahiriah (hard skills) iaitu kemahiran yang berkaitan dengan keupayaan teknikal dalam pekerjaan dan ilmu yang berkait rapat dengan sistem terkini.
Kemahiran insaniah mencakupi beberapa aspek iaitu kualiti peribadi yang merangkumi erti tanggungjawab, kepercayaan diri, kemampuan berinteraksi, pengendalian diri, integriti dan kejujuran.
Ia juga melibatkan keterampilan interpersonal, misalnya bergaul secara anggota masyarakat, berkongsi pengetahuan dengan orang lain, melayani pelanggan, daya kepimpinan, kemampuan berunding serta upaya kerja dalam pelbagai situasi dan ragam.
Melihat kepada ruang lingkup kemahiran insaniah ini, kita mampu membayangkan watak insan yang bakal dilahirkan sekiranya setiap manusia terutamanya remaja dilengkapi dengan kualiti-kualiti tersebut.
Seorang remaja yang dididik dengan kemahiran insaniah yang menyeluruh bakal memimpin masyarakat dengan karisma dan kredibiliti yang tersendiri.
Justeru, menyedari kepentingan kemahiran ini, institusi pengajian tinggi serta syarikat-syarikat perniagaan mensasarkan setiap ahli mereka dilengkapkan dengan kualiti-kualiti mengenai kemahiran ini.
Zaman menghafal ilmu dan memuntahkan segalanya semasa peperiksaan harusnya berlalu. Sistem pendidikan kini mesti berupaya melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan terbuka terhadap perubahan zaman. Terbuka terhadap perubahan tidak bermakna menerima bulat-bulat setiap yang datang, tetapi harus datang dengan rasa tanggungjawab serta kewaspadaan terhadap maklumat yang diterima.
Kemakmuran negara bergantung kepada pembangunan sumber manusia yang strategik menerusi pengajian tinggi universiti. Kementerian Pengajian Tinggi telah mula melaksanakan program-program meningkatkan kemahiran insaniah di kalangan mahasiswa di IPTA.
Ia merupakan strategi menambah nilai diri graduan dan kebolehpasaran mereka untuk mendapatkan pekerjaan.
Begitu juga dengan syarikat perniagaan yang kini banyak menekankan kemahiran berinteraksi antara individu dengan individu atau dengan anggota masyarakat yang lain. Sebahagian besar daripadanya juga jelas memberikan tumpuan kepada kemahiran berkomunikasi.
Antara yang jelas kelihatan ialah tumpuan kepada komunikasi dalam organisasi, komunikasi individu dan komunikasi dalam bidang perniagaan. Oleh itu, kemahiran insaniah kini merupakan elemen yang penting yang perlu diterapkan dalam pendidikan dewasa ini.

0 comments: