Wednesday, July 23, 2008

UPM Kampus Bintulu Destinasi Pendidikan Pertanian Negara - Tan Sri Dato’ Rozali



BINTULU – Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Dato’ Rozali Ismail berkata bahawa UPM Kampus Bintulu (UPMKB) merupakan destinasi pendidikan pertanian yang amat penting kepada sektor pertanian negara dalam melahirkan graduan pertanian dan veterinar berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, melihat kepada program pengajian dan faktor persekitaran kampus, UPMKB amat sesuai sebagai destinasi pendidikan untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang pertanian dan agro-bioteknologi.

“Usaha UPMKB adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan sektor pertanian dan pengeluaran makanan negara.

“Buat masa ini permintaan terhadap pasaran kerja pelajar Malaysia dalam bidang pertanian dan agro-bio adalah tinggi. Sebagai contoh syarikat penternakan saya sendiri susah untuk mencari pakar dalam bidang pertanian dan veterinar,” katanya pada majlis bersama staf dan pelajar di sini.

Beliau memberikan ucapan bersemangat selama setengah jam kepada 700 pelajar dan staf UPMKB pada majlis itu yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah selepas melawat pameran pelajar dan penyelidik UPMKB di Dewan Sri Belian Bangunan Perpustakaan UPMKB.

”Saya berharap pengurusan UPM akan mengemukakan cadangan untuk membesarkan lagi kampus Bintulu,” katanya yang meluangkan masa selama dua hari melawat UPMKB, Sarawak buat pertama kali pada 16 dan 17 Julai baru-baru ini dengan diiringi oleh Pengurusan Universiti.

Sehari sebelumnya, Rozali mengadakan pertemuan bersama ahli pengurusan UPMKB dan diberi taklimat kampus oleh Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, Prof. Madya Dr. Japar Sidik Bujang sebelum beliau membuat lawatan ke Kolej Sri Rajang di sini.

Dalam sesi lawatan itu beliau beramah mesra dengan pelajar-pelajar baru UPMKB ketika berkebun sayur untuk program Bumi Hijau di kawasan Ladang Kongsi Baru (LK2), selain melawat Rumah Pemprosesan Unggas, kompleks Perumahan Staf dan Kompleks Penetasan dan Kolam Ikan.

Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sri Rajang, Mohd. Norhisham Abdullah menyifatkan keprihatinan Rozali memberi galakan kepada pelajar dari segi akademik dan sikap peramahnya disambut baik oleh warga pelajar UPMKB.

”Kehadiran Pro Canselor dan Naib Canselor UPM memberi semangat kepada kami kerana mereka mengambil berat fasiliti dan akademik UPMKB,” katanya.
Kampus cawangan Universiti Putra Malaysia di Sarawak bermula di Semenggok pada tahun 1974 dan dipindahkan ke Bintulu pada 27 Ogos, 1987 sebelum ditutup pada 1 September 1992 dan dibuka semula pada Oktober 2001.

Buat masa ini UPMKB yang mempunyai keluasan 715.16 hektar mempunyai seramai 1030 pelajar, 92 staf akademik dan 368 staf bukan akademik.

UPMKB merupakan sebuah ”Kampus Fakulti”, dikenali sebagai Fakulti Sains Pertanian dan Makanan yang terdiri daripada lima buah jabatan akademik iaitu Jabatan Sains Tanaman, Jabatan Sains Perhutanan, Jabatan Sains Sosial, Jabatan Sains Asasi dan Kejuruteraan dan Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan. Fakulti ini menawarkan program Diploma , Bacelor , Master dengan Tesis dan PhD yang berteraskan kepada bidang agro-bioteknologi.

0 comments: