Tuesday, February 19, 2008

Ucapan Perasmian Temasya Budaya Warisan UPMKB (Pengerusi)

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera saya ucapkan sekali lagi.

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Tuhan sekalian alam, atas kurniaNya, ruang dan perolehan yang kita miliki masih dapat kita terus gunakan dan kita masih diberi ruang untuk menikmati keindahan bumi ciptaanNya yang tidak ternilai ini.

1. Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur Temasya Budaya Warisan (TEBUWA) kerana telah sudi memberikan saya peluang untuk memberi sepatah dua kata dalam majlis perasmian ini. Sesungguhnya, program yang berkonsepkan kesenian dan kebudayaan ini merupakan satu program yang sangat bermanfaat disebabkan program ini selaras dengan usaha pihak universiti untuk memulihara serta memartabatkan warisan budaya dan kesenian masyarakat pelbagai kaum di UPM Kampus Bintulu ini. Justeru itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Biro Kesenian dan Kebudayaan serta Biro Perpaduan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sri Rajang serta seluruh tenaga pengerak yang telah berjaya menganjurkan program ini.

Saudara,Saudari Sekalian

2. Saya dimaklumkan bahawa teras pengisian program temasya budaya warisan ini terdiri daripada komponen seni, budaya dan warisan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya, ketiga-tiga aspek berkenaan merupakan tunjang tamadun atau peradaban sesuatu bangsa. Berdasarkan hakikat ini, dan memandangkan sememangnya hasrat kita ialah untuk membentuk mahasiswa dan mahasiswi yang bukan sahaja maju secara fizikal, tetapi pada masa yang sama tinggi nilai budaya dan keseniannya, maka sudah tentu pembangunan intelektualisme universiti perlu dilengkapi dengan keupayaan warganya yang menjulang kecemerlangan melalui pupukan seni budaya.

Dalam pada itu, saya juga ingin menyebut di sini bahawa, untuk menjayakan hasrat tersebut, ia memerlukan penglibatan semua pihak terutamanya mahasiswa dan mahasiswi Kolej Sri Rajang ini.

“ The More You Give, Much More You Will Get”

Saudara,Saudari Sekalian,

3. Kalendar pengisian aktiviti kebudayaan pada semester ini menyenaraikan lebih 10 aktiviti yang pelbagai. Adalah menjadi harapan kami dari MTM agar pengisian aktiviti ini akan terus dimantapkan dari tahun ke tahun. Beberapa aktiviti teras kebudayaan diharapkan dapat diadakan secara berterusan agar dapat menarik minat mahasiswa dan menjadikan ia aktiviti-aktiviti yang dinanti-nantikan setiap tahun.

4. Meskipun kami telah memberi tumpuan kepada perkara-perkara tersebut namun aspek paling utama yang mahasiswa mahasiswi sekalian perlu beri penumpuan adalah berkenaan perkara asas yang merangkumi soal akidah, akhlak dan budaya seperti batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, sensitiviti yang melibatkan pelbagai kaum dan berbagai-bagai lagi. Beberapa aspek lain yang juga perlu diberi perhatian termasuklah pembangunan minda dan pengisian ilmu. Melalui penumpuan aspek-aspek tersebut kita akan menjadi kelompok manusia yang memiliki nilai hidup yang positif daripada sudut cara berfikir, akhlak dan budaya.

5. Suka saya ingin memetik sepotong ayat dari Surah al-Qasas Ayat 77 yang bermaksud: 'Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagiaanmu dari (kenikmatan) duniawi, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan'.

Saudara, saudari sekalian.

6. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada malam yang berbahagia ini, izinkan saya untuk mengakhirinya dengan dua rangkap pantun.

Anak teruna naik ke darat,
Membawa bersama si ikan tamban,
Hidup di dunia biar beradat,
Budi bahasa dilupa jangan.

Lebat daun si bunga tanjung,
Berbau harum si bunga cempaka,
Adat dijaga pusaka dijunjung,
Baru terpelihara adat pusaka.

Sekian, terima kasih.

0 comments: