Sunday, August 3, 2008

SEIKAT KENANGAN BERSAMA KETUA PENTADBIRAN, EN. AMRAN BIN SAMEK



1/8/2008 – Fakulti Sains Pertanian dan Makanan (FSPM), UPM Kampus Bintulu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Amran bin Samek atas sumbangan beliau bersama-sama membangunkan kampus cawangan UPM ini. Beliau telah bertugas di UPMKB semenjak Januari 2005 hingga sekarang.

Dalam satu majlis mengenang jasa Encik Amran bin Samek semalam, ketika selesai Mesyuarat Pengurusan FSPM, UPMKB Bil. 5 Tahun 2008, Prof. Madya Dr. Japar Sidik Bin Bujang menyatakan bahawa pihak fakulti telah kehilangan pegawai yang juga merupakan pegawai penting membangunkan dan mencorakkan keceriaan kampus ini. Beliau juga mengharapkan agar Encik Amran bin Samek akan terus maju jaya di tempat baharu nanti. Difahamkan bahawa Encik Amran bin Samek akan diletakkan di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) bermula 4 Ogos 2008 nanti.

Encik Amran bin Samek juga memberi sepatah dua kata dalam majlis tersebut dan beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama kepada beliau sepanjang menjadi Ketua Pentadbiran di fakulti ini dan mengharapkan budaya kerjasama ini diteruskan terutama kepada pegawai yang akan meneraju Bahagian Pentadbiran nanti. Baca Seterusnya

RESOLUSI PEMIMPIN PELAJAR UPM KAMPUS BINTULU

DOKUMEN TUJUH RESOLUSI PEMIMPIN PELAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU TERHADAP ISU PENGLIBATAN PELAJAR, MAKLUMAT KAMPUS BINTULU, KEPERLUAN PEMBELAJARAN, LATIHAN INDUSTRI, LATIHAN AMALI, HAL EHWAL KEWANGAN DAN PENSYARAH MELALUI MESYUARAT BERSAMA YDP MPP UPM SESI 2007/2008 PADA 20 JULAI 2008 DI UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA KAMPUS BINTULU

MAKLUMAT PENTING

Dokumen Tujuh Resolusi Pemimpin Pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu terhadap isu penglibatan pelajar, maklumat kampus bintulu, keperluan pembelajaran, latihan industri, latihan amali, hal ehwal kewangan dan pensyarah adalah dokumen untuk membantu pihak pengurusan universiti dalam memperkukuhkan polisi-polisi tertentu disamping mengenalpasti masalah dan cadangan terhadap isu di atas demi menjaga kebajikan mahasiswa di seluruh Malaysia dan ia termaktub didalam perlembagaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, perkara 52(10) tujuan dan fungsi Majlis Perwakilan Pelajar adalah seperti berikut :

(10)(a) Untuk memupuk semangat hidup sebagai suatu persatuan di kalangan pelajar-pelajar universiti.
(10)(b) Tertakluk kepada arahan Naib Canselor, untuk merancang dan menyelia kemudahan-kemudahan kebajikan pelajar di Universiti termasuk kemudahan-kemudahan rekreasi, aktiviti-aktiviti kerohanian dan keagamaan, dan bekalan makanan dan minuman;
(10)(c) Untuk membuat representasi kepada Naib Canselor tentang segala perkara berhubungan atau berkenaan dengan keadaan tempat tinggal dan kehidupan pelajar-pelajar Universiti;
(10)(d) Untuk diwakili dalam mana-mana badan yang boleh, mengikut kaedah-kaedah yang dibuat oleh Lembaga bagi maksud itu, dilantik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan pelajar universiti; dan
(10)(e) untuk menjalankan apa-apa aktiviti lain yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

Segala maklumat dan resolusi yang dibentuk adalah berdasarkan perbincangan semasa mesyuarat Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu Bersama YDP MPP UPM sesi 2007/2008 dan dalam penganalisaan mesyuarat tersebut telah menemui beberapa polisi-polisi yang perlu diperkukuhkan untuk memantapkan lagi kebajikan mahasiswa dan pendirian Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu terhadap beberapa isu.

Untuk makluman juga, pihak Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu juga tidak bertanggungjawab atau bersalah terhadap apa-apa kesilapan, pandangan yang bercanggah, kerosakkan, perbelanjaan atau kerugian dan apa sahaja yang tidak tepat dalam merujuk mana-mana maklumat yang terdapat dalam dokumen ini.

Isu dan Resolusi

ISU 1 : PENGLIBATAN PELAJAR : AKTIVITI DAN PROGRAM YANG DIANJURKAN HENDAKLAH MELIBATKAN PELAJAR DARI KAMPUS SERDANG DAN BINTULU.

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar aktiviti yang
dianjurkan di Universiti Putra Malaysia samada di kampus Serdang atau Bintulu melibatkan penyertaan pelajar daripada kedua-dua belah pihak bagi tujuan pemantapan pembangunan sahsiah.

ISU 2 : MAKLUMAT KAMPUS BINTULU : RUANGAN KHAS KAMPUS
BINTULU DI DALAM SURATKHABAR TRIBUN PUTRA DAN BULETIN
HAL EHWAL PELAJAR.


Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar terdapat ruangan khas mengenai aktiviti dan maklumat berkaitan dengan kehidupan universiti daripada Kampus Bintulu untuk dihebahkan dalam setiap edisi Tribun Putra dan Buletin Hal Ehwal Pelajar.

ISU 3 : KEPERLUAN PEMBELAJARAN : SEBARANG PERALATAN YANG DIPERLUKAN OLEH PELAJAR BAGI MENJALANKAN PROJEK TAHUN AKHIR HENDAKLAH MENCUKUPI BAGI KEGUNAAN PEMBELAJARAN DI MAKMAL

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon jasabaik pihak pengurusan universiti agar menyediakan peralatan makmal yang diperlukan oleh pelajar secukupnya bagi tujuan melengkapkan projek tahun akhir. Untuk makluman, senarai keperluan peralatan akan dihantar secara rasmi daripada wakil Bintulu Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sesi 2007/2008 kepada Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan.

ISU 4 : LATIHAN INDUSTRI : PERMOHONAN MENJALANKAN LATIHAN INDUSTRI DI FIRMA-FIRMA BERKAITAN DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN ANTARABANGSA

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar pihak pengurusan universiti memberi kebenaran kepada pelajar untuk menjalankan latihan industri di firma-firma di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa yang bersesuaian dengan program akademik pelajar.


ISU 5 : LATIHAN AMALI : PERUNTUKAN DANA KHAS BAGI MENJALANKAN LATIHAN AMALI DI LUAR KAMPUS BINTULU

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar peruntukan dana khas diberikan kepada pengurusan universiti di Kampus Bintulu bagi memberikan peluang kepada pelajar kampus Bintulu menjalankan latihan amali di agensi-agensi luar kampus bagi mendedahkan pelajar kepada pengalaman praktikal yang tidak terdapat di kampus.

ISU 6 : HAL EHWAL KEWANGAN : MENYERAGAMKAN BAYARAN INSURANS AKTIVITI PELAJAR DAN MENYALURKAN BANTUAN KEWANGAN BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR UPM DI SERDANG KEPADA PELAJAR DI KAMPUS BINTULU

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon agar bayaran insurans aktiviti pelajar diseragamkan bagi semua pelajar Universiti Putra Malaysia dan bantuan kewangan pelajar daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM kampus Serdang dibuka kepada semua pelajar di kampus Bintulu.

ISU 7 : PENSYARAH : PERTAMBAHAN PENSYARAH UPM KAMPUS BINTULU BERTARAF PHD KE ATAS

Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu memohon jasa baik pengurusan universiti agar menempatkan lebih ramai pensyarah yang mempunyai kelayakan PhD ke atas di kampus Bintulu bagi memberikan pendedahan ilmiah yang setaraf dengan kampus Serdang.

Nota : Segala maklumat dan resolusi yang dibentuk adalah berdasarkan perbincangan semasa mesyuarat Pemimpin Pelajar UPM Kampus Bintulu bersama YDP MPP UPM sesi 2007/2008. Ahli mesyuarat juga tidak bertanggungjawab atau bersalah terhadap apa-apa kesilapan, pandangan yang bercanggah, kerosakkan, perbelanjaan atau kerugian dan apa sahaja yang tidak tepat dalam merujuk mana-mana maklumat yang terdapat dalam dokumen ini. Baca Seterusnya

Friday, July 25, 2008

Kelas Bahasa Arab

Baca Seterusnya

Wednesday, July 23, 2008

UPM Kampus Bintulu Destinasi Pendidikan Pertanian Negara - Tan Sri Dato’ Rozali



BINTULU – Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Dato’ Rozali Ismail berkata bahawa UPM Kampus Bintulu (UPMKB) merupakan destinasi pendidikan pertanian yang amat penting kepada sektor pertanian negara dalam melahirkan graduan pertanian dan veterinar berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, melihat kepada program pengajian dan faktor persekitaran kampus, UPMKB amat sesuai sebagai destinasi pendidikan untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang pertanian dan agro-bioteknologi.

“Usaha UPMKB adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan sektor pertanian dan pengeluaran makanan negara.

“Buat masa ini permintaan terhadap pasaran kerja pelajar Malaysia dalam bidang pertanian dan agro-bio adalah tinggi. Sebagai contoh syarikat penternakan saya sendiri susah untuk mencari pakar dalam bidang pertanian dan veterinar,” katanya pada majlis bersama staf dan pelajar di sini.

Beliau memberikan ucapan bersemangat selama setengah jam kepada 700 pelajar dan staf UPMKB pada majlis itu yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah selepas melawat pameran pelajar dan penyelidik UPMKB di Dewan Sri Belian Bangunan Perpustakaan UPMKB.

”Saya berharap pengurusan UPM akan mengemukakan cadangan untuk membesarkan lagi kampus Bintulu,” katanya yang meluangkan masa selama dua hari melawat UPMKB, Sarawak buat pertama kali pada 16 dan 17 Julai baru-baru ini dengan diiringi oleh Pengurusan Universiti.

Sehari sebelumnya, Rozali mengadakan pertemuan bersama ahli pengurusan UPMKB dan diberi taklimat kampus oleh Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, Prof. Madya Dr. Japar Sidik Bujang sebelum beliau membuat lawatan ke Kolej Sri Rajang di sini.

Dalam sesi lawatan itu beliau beramah mesra dengan pelajar-pelajar baru UPMKB ketika berkebun sayur untuk program Bumi Hijau di kawasan Ladang Kongsi Baru (LK2), selain melawat Rumah Pemprosesan Unggas, kompleks Perumahan Staf dan Kompleks Penetasan dan Kolam Ikan.

Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sri Rajang, Mohd. Norhisham Abdullah menyifatkan keprihatinan Rozali memberi galakan kepada pelajar dari segi akademik dan sikap peramahnya disambut baik oleh warga pelajar UPMKB.

”Kehadiran Pro Canselor dan Naib Canselor UPM memberi semangat kepada kami kerana mereka mengambil berat fasiliti dan akademik UPMKB,” katanya.
Kampus cawangan Universiti Putra Malaysia di Sarawak bermula di Semenggok pada tahun 1974 dan dipindahkan ke Bintulu pada 27 Ogos, 1987 sebelum ditutup pada 1 September 1992 dan dibuka semula pada Oktober 2001.

Buat masa ini UPMKB yang mempunyai keluasan 715.16 hektar mempunyai seramai 1030 pelajar, 92 staf akademik dan 368 staf bukan akademik.

UPMKB merupakan sebuah ”Kampus Fakulti”, dikenali sebagai Fakulti Sains Pertanian dan Makanan yang terdiri daripada lima buah jabatan akademik iaitu Jabatan Sains Tanaman, Jabatan Sains Perhutanan, Jabatan Sains Sosial, Jabatan Sains Asasi dan Kejuruteraan dan Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan. Fakulti ini menawarkan program Diploma , Bacelor , Master dengan Tesis dan PhD yang berteraskan kepada bidang agro-bioteknologi.

Baca Seterusnya

Wednesday, July 9, 2008

Baca Seterusnya