Wednesday, October 14, 2009

PROGRAM PERIKSA

"PERIKSA". Program PERIKSA adalah singkatan kepada Program Persediaan Peperiksaan Akhir yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPMKB dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UPMKB, Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sri Rajang UPMKB dan Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam UPMKB. Program ini dijalankan untuk pelajar UPMKB terutamanya pelajar semester 1 tahun 1 dimana bagi menunjuk ajar dan memberi sedikit dorongan dan tunjuk ajar dalam menempuh peperiksaan akhir yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Program ini dijangka akan berlangsung pada 17 Oktober 2009 ini bermula jam 8.00 pagi dan dijangka berakhir pada jam 5.00 petang. Dalam pengisian program tersebut terdapat beberapa slot-slot khas yang disediakan serta jemputan khas penceramah untuk pengisian slot-slot tersebut. Pada jam 8.30 pagi, pengisiannya adalah dari segi pengisian rohani dimana akan diadakan slot tazkirah pagi bagi pelajar Islam yang bertempat di Pusat Islam UPMKB. Slot ini akan disampaikan oleh penceramah jemputan khas iaitu,YBHG. Dr. Riduan Tee Abdullah, Pensyarah UPNM. Slot ini akan disampaikan oleh beliau lebih kurang 1 jam 30 minit.

Majlis akan diteruskan lagi dengan solat hajat yang juga akan dibimbing oleh beliau. Setelah itu majlis akan berhenti rehat seketika untuk memberi ruang kepada tetamu yang hadir untuk makan tengahari. Majlis ini diteruskan kembali pada jam 2.00 petang dimana diteruskan dengan slot motivasi. Slot motivasi ini melibatkan semua pelajar yang terlibat dalam Program PERIKSA ini. Slot motivasi ini akan disampaikan oleh YBHG. Prof. Madya Dr. Sidek Mohd Noah, Timb. Dekan Akademik Fakulti Pengajian Pendidikan UPM. Slot ini akan berlangsung selama 3 jam dan dijangka berakhir pada jam 5.00 petang. Minum petang turut disediakan. Untuk maklumat yang lebih lanjut lagi, insyaallah kami akan paparkan dari semasa ke semasa melalui blog MPP, Papan Kenyataan Blok dan juga melalui Intercom Kolej. Sekian. Terima Kasih.
Baca Seterusnya

Tuesday, September 15, 2009

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI

More AIDILFITRI graphics




Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu kami bagi pihak MPP ingin memohon ribuan kemaafan dari anda semua diatas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami menjalankan tugas selaku MPP. Ramadhan kian berlabuh dan tidak lama lagi Syawal pula akan menjelang, jadi di kesempatan ini kami menyusun sepuluh jari memohon maaf. Di kesempatan ini juga kami ingin mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kepada yang tidak pulang berhari raya, sama-samalah kita meriahkan suasana hari raya di UPMKB ini. Semoga dengan segala usahasama kita, dapatlah kita menghilangkan sedikit rasa kerinduan kita pada kampung halaman nun jauh di sana. Kepada yang pulang berhari raya pula, kami mengambil kesempatan juga untuk mengucapkan selamat menyambt hari raya bersama keluarga tersayang. Kami juga berdoa semoga yang pulang berhari raya selamat tiba di kampung halaman dan selamat pulang kembali ke UPMKB. Sama-samalah kita menjaga keselamatan diri kita kerana kita merupakan aset yang paling bernilai. Semoga anda semua selamat pulang dan selamat kembali bagi meneruskan tugas sebagai seorang pelajar. Setakat itu saja dululaha coretan buat tatapan saudara dan saudari. Diharapkan apa yang kurang itu dapatlah kita sama-sama perbaiki untuk kesejahteraan kita bersama. Akhir kata, kami wakil MPP mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri. Wassalam.

MPP MOHD AFIQ
MPP NUR SIRAH Baca Seterusnya

Tuesday, August 18, 2009

UJIAN DI BULAN RAMADHAN

UBAT BUKAN HALANGAN BERPUASA


Tahun ini, Ramadan 1430 Hijrah jatuh pada bulan Ogos dan September 2009. Di pertengahannya, kita juga bakal menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52 dalam suasana berpuasa.
Ramadhan tahun ini hadir di ketika mana negara kita dibelenggu satu ancaman virus baru yang telah meragut berpuluh nyawa warganegara Malaysia, virus Influenza A H1N1.
Namun, kehadiran virus punca selesema babi ini bukan satu-satunya ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat.
Seperti mana yang telah dimaklumkan pihak berwajib, antara mereka yang paling berisiko mengalami komplikasi akibat H1N1 adalah pesakit yang menghidap penyakit kronik.
Pesakit sebegini bukan sahaja bergantung hidup kepada ubat, kesan penyakit dan pengambilan ubat itu sendiri telah meninggalkan kesan sehingga pertahanan badan menjadi lemah.
Penyakit kronik juga kini semakin mengatasi kehadiran penyakit berjangkit memandangkan kesan berpanjangan dan berterusan penyakit-penyakit berkenaan.
Bagi kebanyakan pesakit kronik, ubat boleh dikatakan antara makanan ruji bagi mereka, yang perlu diambil sepanjang masa, mengikut keperluan dan tahap kesihatan masing-masing.
Pergantungan kepada ubat bukan sahaja telah merantai pesakit kepada satu cara kehidupan khusus, mereka juga menghadapi kesukaran melakukan perkara biasa yang dianggap remeh oleh individu yang sihat dan kuat.
Ubat yang diambil juga kadangkala meninggalkan kesan negatif ke atas badan tetapi tetap perlu diambil bagi mengawal masalah kesihatan yang dihadapi.
Dalam situasi pergantungan kepada ubat, amalan wajib seperti berpuasa di bulan Ramadhan juga menghadapi kesukaran.
Menahan dari lapar dan dahaga antara 10 hingga 13 jam selama 30 hari tidak begitu mudah bagi mereka yang bergantung kepada pengambilan ubat untuk mengawal paras gula darah, tekanan darah, kesakitan kronik mahupun masalah sistem penghadaman.
Sehinggakan ada yang dinasihatkan, mahupun dilarang berpuasa sama sekali!
"Terdapat beberapa kumpulan utama pesakit yang tidak digalakkan atau tidak boleh berpuasa. Yang paling biasa dihebahkan adalah pesakit gastritis (gastrik) yang teruk dan penghidap penyakit kronik yang tidak terkawal.
"Bagaimanapun, pesakit yang perlu mengambil ubat pada masa atau situasi khusus juga tidak terkecuali. Puasa juga tidak digalakkan bagi pesakit yang mungkin membahayakan diri akibat kekurangan air atau nutrien," jelas Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC).
Menurut beliau, pesakit gastrik yang teruk mungkin tidak mampu berpuasa walaupun cuma untuk beberapa jam.
Penghidap penyakit kronik tidak terkawal pula biasanya melibatkan diabetes atau tekanan darah tinggi (hipertensi) yang teruk.
"Penghidap diabetes yang mengambil insulin menjadi contoh pengguna ubat pada masa yang khusus.
"Ini kerana pengambilan insulin kebiasaannya perlu diikuti dengan pengambilan makanan supaya kandungan gula dalam darah tidak terlalu rendah," katanya.
Tambah Dr. Abdul Malik, selain tiga kumpulan tersebut, pesakit yang menghadapi risiko bahaya ke atas kesihatan diri dan nyawa juga perlu menimbangkan pilihan berpuasa atau tidak.
"Sebagai contoh, pesakit yang muntah dan cirit kehilangan banyak air. Pesakit yang dijangkiti denggi dan mereka yang demam juga memerlukan air secukupnya.
"Oleh itu, mereka tidak digalakkan berpuasa sehinggalah penyakit tersebut tidak lagi membahayakan nyawa," tegasnya.
Puasa ubat
Dr. Abdul Malik menerangkan bahawa pengambilan ubat di kalangan pesakit kini lebih ringkas dan mudah berbanding beberapa tahun sebelumnya.
"Kebanyakan syarikat farmasi kini cuba mengurangkan bilangan ubat yang perlu diambil pesakit setiap hari.
"Langkah ini bukan sahaja untuk meringkaskan dan memudahkan pesakit mengambil ubat, malahan dapat meningkatkan kepatuhan pesakit kepada jadual rawatan dan dos ubat yang diperlukan."
Beliau menjelaskan pesakit yang hanya perlu mengambil ubat sekali atau dua kali sehari juga kurang menghadapi masalah untuk berpuasa.
"Golongan ini boleh mengalihkan pengambilan ubat di waktu pagi, ketika sahur, dan malam, ketika berbuka," katanya.
Sementara itu, penghidap penyakit kronik yang dapat mengawal perkembangan penyakit tersebut juga kini mampu berpuasa.
Dr. Abdul Malik menyatakan pesakit diabetes yang terkawal kini boleh mengalihkan waktu pengambilan ubat mereka ke waktu sahur dan berbuka.
"Kebiasaannya pesakit diabetes mengambil dua dos ubat setiap hari, dos besar pada waktu pagi dan dos rendah pada petang atau malam.
"Ketika puasa, pengambilan dos ini boleh diterbalikkan, dos rendah ketika sahur dan dos besar selepas berbuka," ujarnya.
Beliau menjelaskan dos rendah lebih sesuai ketika sahur memandangkan tidak banyak makanan diambil untuk bersahur.
Dos besar pula lebih sesuai ketika berbuka memandangkan kelaziman pengambilan jumlah makanan yang lebih banyak, terutamanya yang manis, ketika berbuka puasa.
Perkembangan semasa juga memungkinkan pesakit diabetes yang bergantung kepada insulin untuk menyesuaikan pengambilannya pada waktu sahur dan berbuka.
Dari segi pengambilan antibiotik pula, Dr. Abdul Malik memaklumkan bahawa hanya tinggal satu atau dua jenis antibiotik yang perlu diambil sehingga empat kali sehari.
"Kebanyakan antibiotik baru hanya memerlukan pengambilan satu atau dua kali sehari, dengan tumpuan kepada pesakit mematuhi arahan pengambilan ubat."
Kesan puasa
"Bila bulan puasa (Ramadan) tiba, (kawalan) gula saya memang cantik."
Itu menjadi antara ayat lazim pesakit yang dimaklumkan kepada Dr. Abdul Malik.
Beliau mengakui paras gula pesakit diabetes biasanya lebih mudah terkawal di bulan puasa (Ramadan), terutamanya jika mereka tidak melahap makanan yang manis dan tinggi karbohidrat ketika berbuka.
"Kekurangan jumlah dan waktu makan turut mengurangkan pergantungan kepada ubat untuk mengawal paras gula pesakit.
"Bagaimanapun, pesakit diabetes perlu berhati-hati ketika berbuka memandangkan menjadi satu kebiasaan pengambilan banyak makanan manis ketika berbuka," tegasnya.
Pelbagai pilihan makanan di bazar Ramadan mungkin akan merambangkan mata. Banyak kuih yang dijual sama ada manis atau tinggi kandungan karbohidrat.
Amalan pemakanan tempatan bagaimanapun menunjukkan kuih yang manis ini menjadi antara hidangan wajib ketika berbuka.
Dr. Abdul Malik menekankan bahaya jika pesakit diabetes mengambil terlalu banyak makan manis ketika berbuka puasa.
"Walaupun pesakit diabetes boleh mengambil ubat selepas berbuka, adalah lebih baik jika mereka mengambil makanan secara sederhana.
"Amalkan mengambil makanan dalam jumlah kecil, sekadar untuk merasa, dan kalau boleh elakkanlah makanan yang boleh meningkatkan paras gula dalam darah."
Beliau turut menggalakkan pengambilan roti atau nasi bersama sayur segar, di samping buah-buahan segar bagi memastikan tahap kesihatan pesakit terjaga.
"Bersahur amatlah digalakkan untuk penghidap penyakit kronik. Jika tidak berselera, cukuplah dengan memakan sedikit roti bersama ubat.
"Jika bangun cuma untuk makan ubat sahaja juga boleh. Bagaimanapun, pastikan makan sedikit jika mengambil ubat untuk diabetes atau ubat tahan sakit (memberi kesan kepada perut)," katanya.
Selain ubat dan menjaga pemakanan, pesakit juga boleh mengamalkan sedikit senaman ringkas.
"Senaman boleh dilakukan sebelum atau ketika hampir waktu berbuka, senaman ringan seperti aerobik ataupun berjalan.
"Senaman juga boleh dilakukan selepas waktu berbuka, iaitu di waktu malam. Pesakit bagaimanapun tidak digalak melakukan senaman berat kerana dikhuatiri kehilangan banyak air, sehingga menjejaskan badan!"
Patuhi arahan
Walaupun puasa bagi penghidap penyakit kronik bukan semudah untuk individu sihat, perkembangan perubatan kini membolehkan pesakit berpuasa tanpa masalah besar.
Bagaimanapun, Dr. Abdul Malik mengingatkan pesakit supaya tidak mengabaikan pengambilan ubat di bulan puasa.
"Jika terlupa mengambil ubat di waktu berbuka, tidak membawa masalah besar (banyak masa sehingga sahur).
"Tetapi, jika tertinggal ubat di waktu sahur, mungkin ada sedikit masalah (perlu tunggu sehingga waktu berbuka)."
Walaupun kesan terhadap diri pesakit hanya jelas selepas beberapa kali atau beberapa hari tidak mengambil ubat, pesakit tidak sepatutnya terus menerus 'terlupa' pengambilan ubat.
"Pesakit masih boleh berpuasa jika terlupa mengambil ubat sekali, tapi jangan dibuat selalu, jangan jadikan amalan," tegasnya.
Beliau turut menyarankan pesakit yang menghidap gastrik, pada hari biasa atau ketika Ramadan, untuk berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah besar dalam sistem penghadaman.
Jadual pengambilan ubat di bulan puasa juga tidak boleh dibuat sesuka hati. Dr. Abdul Malik menegaskan setiap pesakit perlu mendapatkan pandangan dan nasihat doktor pakar terlebih dahulu sebelum mengatur semula masa dan cara pengambilan ubat untuk berpuasa.
"Sebaik-baiknya, jumpa doktor dahulu untuk bertanya bagaimana mengubah cara pengambilan ubat semasa bulan puasa, mengikut keperluan individu pesakit dan penyakit yang dihadapi."
Perubahan rawatan ketika bulan puasa bukan sahaja melibatkan peralihan waktu mengambil ubat, malahan mungkin melibatkan penukaran jenis ubat.
Doktor mungkin akan memberikan ubat yang tidak perlu diambil dengan kerap, bersesuaian dengan situasi ketika berpuasa.
Tidak kira dari segi pengambilan ubat, pemakanan dan senaman, tujuan utama adalah untuk pesakit terus mengawal situasi kesihatan mereka, di bulan Ramadan atau hari-hari biasa.
Sebarang perubahan negatif bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan dan ketahanan badan, malahan akan mendedahkan pesakit kepada risiko penyakit lain seperti selesema babi.
Ingat, virus H1N1 dan banyak kuman lain lebih mudah menjangkiti dan juga menyebabkan komplikasi di kalangan penghidap penyakit kronik yang mengabaikan kesihatan mereka.
Oleh itu, sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab terhadap rawatan serta tahap kesihatan diri.
Jadikanlah amalan berpuasa satu cara menguat dan memulihkan badan, tanpa mengabaikan sebarang bentuk rawatan dan perlindungan diri, terhadap sebarang ancaman jangkitan dan penyakit lain.

edited from utusan. Baca Seterusnya

Sunday, August 9, 2009

INFO BERSAMA : PERKASA KEMAHIRAN INSANIAH




SENARIO di atas sering terjadi kepada graduan masa kini. Limpahan graduan yang tidak bekerja menjadi tanda tanya kepada semua pihak. Adakah graduan yang terhasil daripada sistem pendidikan kita tidak cukup bermutu dan berkualiti? Adakah wajar kita menyalahkan pihak pengajian tinggi di dalam hal ini?
Semua aspek perlu diteliti dengan menyeluruh supaya pendekatan yang bersepadu diambil bagi mengatasi permasalahan ini.
Menurut Wikipedia, kemahiran insaniah atau diistilahkan sebagai soft skills merujuk kepada istilah sosiologi yang merujuk kepada ciri-ciri keperibadian, daya tarik sosial, kemampuan berbahasa, norma peribadi, sikap kepekaan atau kepedulian serta sikap optimis seseorang.
Ia melengkapi kemahiran lahiriah (hard skills) iaitu kemahiran yang berkaitan dengan keupayaan teknikal dalam pekerjaan dan ilmu yang berkait rapat dengan sistem terkini.
Kemahiran insaniah mencakupi beberapa aspek iaitu kualiti peribadi yang merangkumi erti tanggungjawab, kepercayaan diri, kemampuan berinteraksi, pengendalian diri, integriti dan kejujuran.
Ia juga melibatkan keterampilan interpersonal, misalnya bergaul secara anggota masyarakat, berkongsi pengetahuan dengan orang lain, melayani pelanggan, daya kepimpinan, kemampuan berunding serta upaya kerja dalam pelbagai situasi dan ragam.
Melihat kepada ruang lingkup kemahiran insaniah ini, kita mampu membayangkan watak insan yang bakal dilahirkan sekiranya setiap manusia terutamanya remaja dilengkapi dengan kualiti-kualiti tersebut.
Seorang remaja yang dididik dengan kemahiran insaniah yang menyeluruh bakal memimpin masyarakat dengan karisma dan kredibiliti yang tersendiri.
Justeru, menyedari kepentingan kemahiran ini, institusi pengajian tinggi serta syarikat-syarikat perniagaan mensasarkan setiap ahli mereka dilengkapkan dengan kualiti-kualiti mengenai kemahiran ini.
Zaman menghafal ilmu dan memuntahkan segalanya semasa peperiksaan harusnya berlalu. Sistem pendidikan kini mesti berupaya melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan terbuka terhadap perubahan zaman. Terbuka terhadap perubahan tidak bermakna menerima bulat-bulat setiap yang datang, tetapi harus datang dengan rasa tanggungjawab serta kewaspadaan terhadap maklumat yang diterima.
Kemakmuran negara bergantung kepada pembangunan sumber manusia yang strategik menerusi pengajian tinggi universiti. Kementerian Pengajian Tinggi telah mula melaksanakan program-program meningkatkan kemahiran insaniah di kalangan mahasiswa di IPTA.
Ia merupakan strategi menambah nilai diri graduan dan kebolehpasaran mereka untuk mendapatkan pekerjaan.
Begitu juga dengan syarikat perniagaan yang kini banyak menekankan kemahiran berinteraksi antara individu dengan individu atau dengan anggota masyarakat yang lain. Sebahagian besar daripadanya juga jelas memberikan tumpuan kepada kemahiran berkomunikasi.
Antara yang jelas kelihatan ialah tumpuan kepada komunikasi dalam organisasi, komunikasi individu dan komunikasi dalam bidang perniagaan. Oleh itu, kemahiran insaniah kini merupakan elemen yang penting yang perlu diterapkan dalam pendidikan dewasa ini. Baca Seterusnya

Saturday, August 8, 2009

PERUTUSAN MENJELANG BULAN RAMADHAN

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera

PENGENALAN

Beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak iaitu bulan yang padanya penuh dengan segala keberkatan, limpahan rahmat dan keampunan dari Allah Taala. Jadi tidak hairanlah apabila hampir tibanya bulan Ramadhan ini maka Rasulullah S.A.W. dan para sahabat begitu gembira sekali serta tidak sabar-sabar menanti ketibaannya pada setiap tahun. Mudah-mudahan kita juga bergembira dan terasa rindu yang amat sangat untuk menyambut kehadiran bulan yang mulia ini sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W.
Pada bulan Ramadhan ini jugalah umat Islam diperintahkan untuk berpuasa yang merupakan salah satu dari Rukun Islam yang lima. Maka perintah seperti ini sudah pastilah mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tertentu untuk diberikan kepada manusia.
Firman Allah Taala bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah al-Baqarah: ayat 183).

ANTARA KEISTIMEWAAN DAN KELEBIHAN RAMADHAN

Pintu Syurga Dibuka Dan Pintu Neraka Ditutup.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Apabila datangnya Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan-syaitan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hanya Orang Yang Berpuasa Dapat Memasuki Pintu Syurga ar-Rayyan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa sahaja memasukinya manakala orang-orang lain selain mereka tidak dibenarkan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang Berpuasa Bergembira Ketika Bertemu Allah Taala dan Berbuka.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Bagi orang yang berpuasa itu merasai dua kegembiraan iaitu apabila berbuka puasa dia gembira dengan berbuka puasanya dan apabila dia bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan ibadat puasanya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Bau Mulut Orang Yang Berpuasa Lebih Wangi Dari Kasturi.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Demi Allah yang Muhammad berada di dalam genggamannya bahawasanya bau mulut orang-orang yang berpuasa itu lebih harum baunya di sisi Allah daripada bauan kasturi.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Diturunkan al-Quran al-Karim.
Firman Allah Taala bermaksud:
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (menjelaskan di antara yang benar dan yang salah).
(Surah al-Baqarah: ayat 185).
Amalan Puasa Dinisbahkan Khusus Kepada Allah Taala.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah Taala berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Malam Lailatul Qadar.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.
(Surah al-Qadr: ayat 1 hingga 5).
ANTARA PERISTIWA PADA BULAN RAMADHAN (BULAN KEMENANGAN)
Peperangan Badar al-Kubra.
Pererangan ini berlaku pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah.
Pembukaan Makkah.
Berlaku pada 21 Ramadhan tahun kelapan Hijrah.
Peperangan al-Qadisiyah.
Berlaku pada tahun 14 Hijrah.
Pembukaan Andalusia.
Berlaku pada tahun 92 Hijrah.
Peperangan Hittin.
Berlaku pada tahun 583 Hijrah.
Kekalahan Tentera Tartar.
Berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 Hijrah.
Kekalahan Israel.
Berlaku pada 10 Ramadhan tahun 1393 Hijrah.

BEBERAPA PERINGATAN DAN NASIHAT SEPANJANG RAMADHAN

01. Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang mana akan melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah Taala.
02. Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, bercakap dusta, bermusuh-musuhan dan membangga-bangga diri.
03. Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram kerana Allah Taala menyamakan mendengar perkara yang haram itu seperti memakan yang haram.
04. Menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.
05. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sampai penuh perutnya.
06. Hendaklah hati kita itu merasa goncang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau ditolak.

PENUTUP

Setakat itu sahajalah dulu perkongsian ilmu bersama. Semoga kita semua mendapat barakah daripada Nya. Baca Seterusnya