Friday, February 27, 2009

MPP Baru Perlu Laksana Kerja Berkesan – Naib Canselor


SERDANG, 17 Feb – Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baru perlu menterjemahkan kepercayaan dan mandat yang diberikan pelajar universiti itu melalui keberkesanan hasil kerja dalam tempoh satu tahun pelantikan, kata Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah.

Beliau berkata, kepimpinan MPP UPM perlu memahami lima fungsi mereka yang termaktub di bawah Seksyen 52(10), Perlembagaan UPM yang menjadi pengukur peranan kepimpinan MPP dengan perincian terhadap kaedah pelaksanaan melalui siri-siri latihan yang diikuti mereka selepas ini.

“Latihan tersebut bagi melatih barisan pemimpin pelajar supaya menjadi profesional, mahir dan mewujudkan budaya kerja sistematik untuk diwariskan kepada barisan pengganti.

“Saya amat mementingkan pematuhan terhadap ukuran, prosedur dan tatacara yang digubal kerana tindakan yang dilaksanakan sebagai warga UPM harus sentiasa selari dengan aspirasi kerajaan,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli MPP UPM Sesi 2008/2009, di Serdang, baru-baru ini.

Dr. Nik Mustapha berkata, bagi menghadapi era baru serba mencabar, gerakan pelajar universiti perlu mempamerkan imej profesional, praktikal dan rasional untuk menjadi pemimpin yang disegani.

“Budaya berdemonstrasi bercorak negatif perlu ditinggalkan dalam menuju ke arah masyarakat maju dan barisan kepimpinan MPP perlu memberi contoh personaliti, sahsiah dan amalan kerja berkualiti.

“MPP perlu menjalankan aktiviti dengan menerapkan komponen kemahiran insaniah yang kini menjadi agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi bagi melahirkan modal insan yang serba boleh dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPP Sesi 2008/2009, Mohd Syamsul Salleh berkata MPP kali ini perlu mewujudkan satu jalinan kerjasama yang erat antara pelajar dan pihak pentadbiran dalam menjaga kebajikan, keselamatan dan keselesaan pelajar bagi menjana kecemerlangan universiti.

“Modus operandi MPP yang baru perlu dipacu bersama dengan semangat kerjasama jitu antara pelajar dan MPP sebagai medium perantara dan pihak pentadbiran universiti sebagai pelaksana.

“Melalui slogan MPP yang baru iaitu ‘Aspirasi Anda, Inspirasi MPP’ tumpuan akan diberikan kepada kecemerlangan pencapaian pelajar universiti dalam semua aspek dan pembelaan terhadap isu-isu kebajikan dan keselamatan pelajar,” katanya yang merupakan pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama tahun tiga.

Disediakan oleh Seksyen Media dan Publisiti, Bahagian Komunikasi Korporat, UPM. Baca Seterusnya