Wednesday, January 30, 2008

AMANAT PRESIDEN MAJLIS TERTINGGI MAHASISWA, MTM SESI 2007/2008


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum W.B.T. & Salam Perpaduan.

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Tuhan sekalian alam, atas kurniaNya, ruang dan perolehan yang kita miliki masih dapat kita terus gunakan dan kita masih diberi ruang untuk menikmati keindahan bumi ciptaanNya yang tidak ternilai ini.

Pertama sekali saya mengucapkan tahniah diatas pelantikan saudara-saudari sebagai ahli dalam MTM Kolej Sri Rajang Sesi 2007/2008. Saya bagi mewakili seluruh warga Kolej Sri Rajang percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa saudara dan saudari akan dapat melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi terhadap jawatan yang dipegang.

Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) yang ditubuhkan di semua kolej kediaman di UPM merupakan salah sebuah platform untuk mengembangkan dan menggilap potensi kepimpinan mahasiswa yang merupakan pelapis kepada kepimpinan negara yang tercinta. Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakan seperjuangan untuk berkhidmat bersungguh- sungguh dan memberikan khidmat yang terbaik bagi menjayakan aspirasi universiti di dalam pembentukan para pelajar yang bukan sahaja jaguh di bumi sendiri bahkan mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Saudara/saudari sekalian,

Pada kesempatan ini, terpanggil saya untuk berkongsi berkenaan dengan rancangan, visi dan misi MTM Kolej Sri Rajang Sesi 2007/2008 pada sesi ini. Pada dasarnya, MTM Kolej Sri Rajang akan memfokuskan kepada tiga perkara penting bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan terdahulu dalam membantu universiti dan mahasiswa khasnya iaitu membudayakan kebijaksanaan, membantu universiti melahirkan mahasiswa teknokrat dan mengetengahkan kebajikan mahasiswa. Ini penting, kerana ini adalah tugas dan tanggungjawab kita sebagai wakil kepada mahasiswa di peringkat universiti.

Penubuhan MTM adalah antara lain bagi mewujudkan semangat berpersatuan dikalangan mahasiswa di Kolej Kediaman. Untuk itu, kita perlu merancang pelbagai program dalam membantu mahasiswa bagi meningkatkan kemahiran dan kecemerlangan diri samada program di peringkat kolej atau universiti. Ini adalah selari dengan matlamat universiti untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah mahir dalam mengendalikan pelbagai aktiviti dan seterusnya mempunyai kemahiran softskill sepertimana yang diharap-harapkan.

Saudara/saudari sekalian,

Walau apa pun aktiviti yang kita jalankan di kolej dan universiti, kita harus ingat kecemerlangan akademik hendaklah sentiasa diutamakan. Agenda ini bertitik tolak dari pengurusan masa yang betul dan disiplin yang tinggi. Sesungguhnya tiada apa yang paling bermakna dalam kehidupan di kampus melainkan kejayaan yang cemerlang dalam akademik. Pencapaian yang rendah dan sederhana mestilah terus ditingkatkan dari masa ke masa. Dalam hal ini, rakan-rakan pemimpin perlu turut memainkan peranan penting dalam membantu dan mengingatkan kita selain motivasi dalaman diri sendiri yang tinggi untuk mengejar kecemerlangan.

Saudara/saudari sekalian,

Dalam kita menjalani ranjau kehidupan seorang yang bergelar pemimpin pelajar ini, pasti banyak keadaan telah dan akan kita lalui tidak kira untuk apa jua urusan walau dimana jua dan dengan siapa jua, namun apa yang ingin saya kongsikan bersama ialah jadikanlah ianya sebagai satu pedoman dan pengajaran terbaik buat diri kita. Jika kita ingin orang lain memberikan penghormatan dan kerjasama yang baik, perkara tersebut harus kita mulakan dalam diri kita terlebih dahulu barulah segalanya akan kita peroleh kembali.

“The More You Give, Much More You Will Get”

Saudara/saudari sekalian,

Walau apa pun kita hendaklah bergerak selari dengan hasrat universiti. Justeru itu saudara-saudari sekalian diharapkan dapat memberi sokongan yang sepenuhnya terhadap kepimpinan MPP dan MTM Sesi ini. Sebarang kritikan dan komen yang membina hendaklah disalurkan dengan jalan yang sewajarnya bagi membolehkan idea yang bernas dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli MTM Kolej Sri Rajang Sesi 2007/2008

Sekian. Wassalam...

MOHD NORHISHAM BIN ABDULLAH
Presiden,
Majlis Tertinggi Mahasiswa,
Kolej Sri Rajang,
Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu,
Sarawak.

Baca Seterusnya